Proses Pembangunan Tanah di Negeri Perlis
Di Negeri Perlis sebelum sesuatu pembangunan dapat dilakukan, ianya perlu
melalui 3 peringkat permohonan kelulusan iaitu:
i) Peringkat pertama
Proses kelulusan Tukar Syarat Tanah (Dibawah Seksyen 124A) atau Serah
Balik Kurnia Semula (SBKS) (Dibawah Seksyen 204D).
ii) Peringkat kedua
Kebenaran Merancang/Kelulusan Pelan susunatur
iii) Peringkat ketiga
Kelulusan pelan bangunan
Peringkat pertama
Permohonan kelulusan tukar syarat tanah atau SBKS ini dikemukakan untuk
tujuan projek perumahan, perniagaan, industri dan untuk lot-lot pertanian. Melalui proses
ini Pihak Berkuasa Negeri berkuasa menukar jenis penggunaan tanah, syarat nyata tanah,
sekatan kepentingan dan keluasan tanah. Bahagian-bahagian tertentu tanah perlu
diserahkan untuk kemudahan awam. Setelah kelulusan diperolehi pemohon dikehendaki
menjelaskan bayaran premium, kadar sumbangan saliran dan hasil tahun pertama serta
bayaran proses yang lain.
Tukar syarat tanah bermaksud perubahan kepada jenis penggunaan tanah, syarat
nyata dan hasil tanah manakala SBKS bermaksud satu lot atau lebih yang berdampingan
yang dimiliki oleh tuanpunya yang sama diserah balik kepada PBN dengan syarat
bahagian-bahagian tertentu diberimilik semula kepadanya dalam unit-unit yang
berasingan.
Permohonan akan melalui proses peringkat Jawatankuasa Teknikal Tanah yang
mana Jabatan Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Perlis (JPTG) sebagai urusetia.
Diperingkat ini dokumen-dokumen yang diterima akan diproses di peringkat JPTG.
Salinan-salinan pelan tatatur yang dikemukakan akan dihantar oleh JPTG kepada
Jabatan-Jabatan Teknikal untuk mendapatkan ulasan termasuklah kepada Jabatan
Penilaian dan Perkhidmatan Harta untuk menilai tanah tersebut.
Antara agensi yang
terlibat untuk mendapat pandangan dan ulasan adalah:
i) Majlis Perbandaran Kangar
ii) Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Perlis
iii) Jabatan Perparitan dan Saliran
iv) Jabatan Kerja Raya
Selepas ulasan diterima, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Tanah akan diadakan
dan dipengerusikan oleh Ahli Exco Tanah Negeri dengan ahli-ahli terdiri dari:
i) 3 orang ahli Dewan Undangan Negeri yang dilantik oleh Menteri Besar
ii) Jabatan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perlis
iii) Majlis Perbandaran Kangar
iv) Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Perlis
v) Jabatan Perparitan dan Saliran
vi) Jabatan Kerja Raya
vii) Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN)
viii) Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta
ix) Jabatan Hutan Negeri Perlis
Selepas mesyuarat, JPTG akan menyediakan deraf rencana permohonan tersebut
untuk dibawa ke Mesyuarat Exco yang dipengerusikan oleh Menteri Besar. JPTG akan
menyediakan kertas yang sempurna untuk dibentangkan dalam mesyuarat tersebut.
Keputusan mesyuarat tersebut akan dimaklumkan kepada pemohon bersama makluman
bayaran-bayaran yang dikenakan bagi maksud tersebut.
- 24 -
Proses kelulusan diperingkat ini mengambil masa 6 bulan hingga 12 bulan.
Peringkat kedua
Peringkat kedua merupakan proses untuk mendapat kebenaran merancang /
kelulusan pelan tatatur. Setelah mendapatkan kelulusan diperingkat 1, pemohon akan
memajukan permohonan pelan susunatur bagi diproses oleh OSC yang ditempatkan di
Majlis Perbandaran Kangar. Pada peringkat ini, penelitian yang lebih terperinci akan
dilakukan di mana pelbagai aspek seperti butir-butir cadangan, aspek perundangan,
dasar-dasar semasa kerajaan, aspek teknikal perlu dipatuhi. Secara keseluruhannya,
Majlis Perbandaran Kangar ini adalah sebagai agensi yang menguruskan
proses permohonan Peringkat 2 ini. Dengan menggunakan borang-borang tertentu,
permohonan yang telah dikemukakan akan dirujuk terus kepada jabatan-jabatan
teknikal. Kebiasaannya sebanyak 14 jabatan teknikal diedarkan agar pihak teknikal
tersebut dapat memberikan ulasan. Setelah mendapatkan ulasan dari jabatan-jabatan
teknikal, pelan permohonan perlu diselaraskan dengan ulasan teknikal tersebut dan
membuat pindaan, jika perlu.
Setelah itu surat kelulusan dikeluarkan dan dihantar kepada
pemohon. Proses kelulusan diperingkat ini mengambil masa 6 bulan hingga 9 bulan.
Peringkat ketiga
Peringkat ketiga merupakan proses untuk mendapat kelulusan pelan bangunan.
Setelah mendapatkan kelulusan diperingkat 2, pemohon akan memajukan permohonan
kelulusan pelan bangunan bagi diproses oleh OSC yang ditempatkan di Majlis
Perbandaran Kangar. Pada peringkat ini, permohonan yang dikemukakan akan dirujuk
terus kepada jabatan-jabatan teknikal bagi mendapatkan ulasan dan pandangan. Setelah
mendapatkan ulasan dari jabatan-jabatan teknikal, kelusan pelan bangunan akan
dikeluarkan dan dihantar kepada pemohon. Proses kelulusan diperingkat ini mengambil
masa 3 bulan hingga 6 bulan.
Nota: Proses permohonan di Peringkat kedua dan ketiga boleh dijalankan serentak.
Bagaimanapun praktis yang dijalankan di Negeri Perlis adalah mengikut peringkat demi
peringkat.
KADAR PREMIUM TUKAR SYARAT
Kadar premium tukar syarat disetiap negeri adalah berbeza. Bagi Negeri Perlis kadar
premium tukar syarat bagi tanah pertanian kepada Bangunan(tapak kediaman/perniagaan)
adalah seperti berikut:
1. Daripada Pertanian kepada Bangunan
a) Tapak Kediaman - 5% daripada Nilaian Tapak Kediaman
b) Tapak Perniagaan - 10% daripada perbezaan nilaian Tapak
Perniagaan dengan nilaian Tanah Pertanian.
Bayaran-bayaran lain selain dari premium tersebut adalah:
Caruman tangki air - RM2,500 seunit
Caruman jalan ( bagi projek yang menggunakan jalan perumahan sediada sebagai
jalan masuk:
Rumah sesebuah - RM4,000 seunit
Rumah berkembar - RM2,000 seunit
Rumah teres - RM1,000 seunit
Sumbangan saliran - RM2,000 untuk 1 ekar hingga 3 ekar
Setiap tambahan ¼ ekar atau sebahagian
daripadanya RM250.
Caruman rumah kos rendah - RM3,000 seunit